Dia ingin berubah. Dia ingin jadi seperti dahulu. Sentiasa mengingati
Allah, sentiasa takut akan azab-Nya, sentiasa taat pada perintahn-Nya,
dan sentiasa jaga batas pergaulan. Dia yakin dan percaya, perempuan yang
dijaga oleh Allah, pasti tidak akan membenarkan mana-mana tangan lelaki
menyentuh dirinya.
Namun, tatkala dia merasakan dirinya cukup
bahagia dengan hidayah Allah, Allah menguji dirinya. Allah menghadirkan
dirinya dengan seorang lelaki yang menuntut balasan cinta. Dirinya
dimewahkan dengan kata-kata pujian, dengan gurindam rindu dan
madah-madah cinta yang sebelum ini tidak pernah meneroka hati dan
jiwanya.
Dia percaya cinta dari Allah, tapi dia lupa itu bukan
caranya. Dia alpa. Hatinya sudah tidak seperti dahulu. Hatinya dilimpahi
rasa rindu si jejaka. Rindu si nafsu yang mengwar-warkan kemanisan
cinta manusia. Bukan dia tidak sedar dia sudah berubah, bukan juga dia
tidak sedar bahawa ketenangan hati yang pernah dianugerahkan oleh Allah
semakin menjauhi. Dia menutup kesedaran itu dengan janji dan kata-kata
cinta si jejaka.
Dia sudah jauh dari hidayah Allah. Imannya rapuh,
syaitan menari-nari tatkala dia membenarkan tangan rakus si jejaka
menyentuh dirinya bersama alunan syahdu janji kekasih. Tempat yang
sepatutnya dia jaga, didedahkan. Kononnya yakin si jejaka adalah
suaminya.
Tidakkah dia takut dengan dosa atau dengan azab Allah?.
Ya, dia sedar tetapi separa sedar. Rasa sayangnya pada jejaka itu mulai
melebihi segalanya. Namun, syukur pada Allah, Allah masih sayang
padanya. Jejaka itu gagal menawan mahkota dirinya. Saat dirinya berutus
cinta, dia masih lagi solat, dia tidak lupa tanggungjawabnya. Namun
mungkin solatnya masih tidak sempurna lalu robohlah benteng imannya
dipukul ombak nafsu cinta manusia.
Allamdullilah. Allah menurunkan
hidayah pada dirinya. Di saat jejaka menyepikan diri seketika, dirinya
dilanda rasa berdosa. Mengingati kembali dosa-dosa yang dilakukan,
mengalir air mata kekesalan. Disaksikan kegelapan malam, dia bangun
untuk bersolat taubat. Menangislah dirinya sepuas-puasnya. Dia memohon
petunjuk pada Allah, dia ingin kembali, kembali atas cinta. Demi cinta
Allah yang tidak pernah berpaling dari hidupnya dia nekad untuk berubah.
Namun hatinya sedikit takut akan janji Allah.
"Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitu sebaliknya."
"Demi
cinta Allah yang ku kejar, kuatkan hatiku untuk bertahan, berikan ku
kecerdasan akal untuk sentiasa berfikir tentang kuasaMu, hulurkan
pertolonganMu di saat-saat aku hampir tewas, sinarkan nur hidayahMu
untuk aku terus di jalanMu. Ya Allah! Aku memohon keampunan kepadaMu."